Tanah Kita, Masa Depan Kita: Sahut Citra Hari Alam Sekitar Sedunia 2024 Dengan Aktiviti Kemasyarakatan


CHEMOR, 22 Jun 2024 – BUILDS, bahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) YTL Cement, yang merupakan kumpulan pembekal bahan binaan terbesar di Malaysia bersama Global Environmental Centre (GEC), menganjurkan inisiatif kelestarian alam sekitar dengan menjayakan Program Kutip Sambil Riadah (KUDAH) bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia 2024 di Kebun Komuniti Taman Chemor Idaman, Perak. Program ini adalah usaha kolaboratif antara YTL Cement, GEC, dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Chemor Idaman serta disokong oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak. Program ini turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi kerajaan yang lain termasuk Pejabat Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Daerah Kinta, Majlis Perbandaran Ipoh dan Jabatan Pengairan dan Saliran Perak.

Bertemakan ‘Tanah Kita, Masa Depan Kita’, tiga aspek global yang menjadi fokus utama Hari Alam Sekitar 2024 iaitu pemulihan tanah, penggurunan (desertifikasi) dan ketahanan kemarau dizahirkan oleh YTL Cement dan rakan kolaborasi program ini. Aktiviti utama pada hari ini ialah pelancaran Alamat Sungai KRT Taman Chemor Idaman. Ini merupakan usaha untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam menjaga sungai untuk jangka masa panjang. Selain itu, aktiviti yang menjadi sorotan adalah gotong-royong membersihkan sampah, kitar semula barangan dan sisa domestik, aktiviti menanam pokok serta menghias fasiliti awam komuniti Taman Chemor Idaman.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, YBrs Encik Hazizi bin Esa, “YTL Cement dan GEC menzahirkan kesungguhan mereka dalam memelihara dan memulihara alam sekitar dengan konsisten. Saya amat berterima kasih kepada YTL Cement dan GEC kerana sudi menjadi rakan korporat Jabatan Alam Sekitar yang sentiasa menyokong usaha kami untuk melestarikan alam sekitar. Usaha untuk memastikan persekitaran yang bersih dan lestari ini harus didukung bersama agar kita semua dapat memainkan peranan mengikut kapasiti tersendiri. Semoga kerjasama ini boleh memberi inspirasi kepada syarikat korporat yang lain untuk sama-sama menyumbang semula ke arah usaha melestarikan alam sekitar demi masa depan yang lebih baik.


Memupuk budaya bersih dalam kejiranan

Aktiviti yang menjadi sorotan dalam acara sambutan ini adalah KUDAH, iaitu sebuah inisiatif yang diperkenalkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan kini menjadi tradisi YTL Cement, bertujuan untuk menggalakkan kerjasama penduduk mengutip sisa pepejal di kawasan kejiranan mereka dan mengasingkan sisa tersebut mengikut kategori bahan bagi memudahkan proses kitar semula.


Mendidik mengurus sisa dengan baik

Selain mengutip sisa di luar kawasan kediaman, penduduk juga digalakkan untuk mengasingkan barangan di dalam rumah yang boleh di kitar semula. Barangan untuk di kitar semula tidak terhad kepada sisa pepejal, malah sisa cecair seperti minyak masak terpakai juga digalakkan. Kesemua barang yang ingin disisihkan akan diasingkan mengikut jenis bahan dan dijual kepada kontraktor pusat kitar semula. Wang yang di kumpul melalui aktiviti ini disumbangkan semula kepada tabung KRT Taman Chemor Idaman untuk pembiayaan aktiviti komuniti mereka.


Bagi memastikan kesuburan tanah dapat dikekalkan dan ditingkatkan, tetamu kehormat dan penduduk yang hadir berpadu tenaga dengan menanam pokok di Kebun Komuniti Taman Chemor Idaman sebagai salah satu usaha untuk mencapai objektif Hari Alam Sekitar Sedunia 2024. Anak pokok yang disumbangkan oleh YTL Cement merangkumi 10 pokok buah dan landskap yang ditanam di kawasan Taman Chemor Idaman sekali gus dapat menggalakkan aktiviti penanaman dan melestarikan kawasan komuniti tersebut.


“Melalui BUILDS, kami meneroka pelbagai peluang untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Misalnya di Negeri Perak, YTL Cement telah berada dan membangunan bersama-sama negeri ini lebih dari tujuh dekad. Oleh demikian, kami komited untuk terus membantu masyarakat dan alam sekitar di Perak dan tentunya bersama Jabatan Alam Sekitar, anak-anak syarikat YTL Cement, rakan-rakan NGO dan komuniti tempatan,” kata Dato' Halimah Hassan, Pengarah YTL Cement merangkap Pengerusi GEC.

Pengerusi kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Chemor Idaman, Encik Karim Din bin Mohd Ismail berkata kunjungan YTL Cement, GEC, JAS Perak, dan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Pejabat Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Daerah Kinta, Majlis Perbandaran Ipoh dan Jabatan Pengairan dan Saliran Perak memberi motivasi kepada penduduk untuk terus menjalankan aktiviti kemasyarakatan dengan adanya galakan dan sokongan seperti ini. Tambahnya, penduduk amat gembira kerana ada syarikat-syarikat yang menghargai usaha yang mereka lakukan, secara tidak langsung membuka jalan untuk lebih banyak kerjasama antara komuniti dan syarikat korporat.

“Demi mencapai impak yang lebih berkesan dalam setiap program yang dijalankan, usaha kolaborasi bersama pelbagai pihak antaranya pihak kerajaan, badan bukan kerajaan, industri dan juga komuniti perlu dititikberatkan. Jelas program-program yang merupakan hasil daripada kerjasama ini menjadi tonggak dan inspirasi kepada komuniti-komuniti yang lain agar terus memberi manfaat kepada komuniti tempatan,” tambah Dato’ Halimah.